Teguran terhadap Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)

0
09:07
Saya sebenarnya meletakkan harapan besar kepada sesi kepimpinan PMUM pada kali ini dengan melihat percaturan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang sangat ideal, dengan tidak mengkesampingkan wakil-wakil dari Penggerak Mahasiswa. Namun sayangnya, jumlah yang besar ini tidak banyak menyumbang kepada pembangunan intelektual mahasiswa dan kebajikan secara keseluruhannya.

Saya boleh menerima alasan perancangan yang kelam-kabut pada sesi lepas kerana watikah pelantikan pun diserahkan hampir dengan minggu ulangkaji. Namun alasan yang sama tidak lagi boleh digunapakai dalam semester ini, sudah beberapa minggu sesi kuliah telah berlalu, tetapi gerak kerja PMUM belum dilihat memberi impak yang besar kepada mahasiswa.

PMUM masih lagi hanyut dengan jelajah yang tidak berkesudahan, lebih selesa menjadi pengiring lawatan universiti yang lain disamping sibuk menghadiri makan-makan bersama menteri-menteri. Sejujurnya saya tiada masalah dengan semua itu, cuma apakah maknanya pertemuan demi pertemuan yang diadakan bersama orang luar kalau universiti sendiri terabai?

Saya masih lagi menunggu program-program intelektual yang mampu menggegarkan Perdana Menteri di pejabatnya, menjadikan Datuk TNC HEP dan konco-konconya tidak boleh duduk senang di pejabatnya, membawa dimensi baharu dalam pemikiran mahasiswa tetapi sayangnya tidak ada. Alasan sekatan HEP tidak patut dijadikan bahan meraih simpati mahasiswa, kerana mahasiswa sudah sedia maklum dengan tugasan HEP yang satu itu. Isu semasa silih bertukar ganti, dimanakah pendirian PMUM. Persoalannya, kemana pergi suara ahli-ahli PMUM dalam berhadapan masalah ini? Tidak cukup sekadar bersilat di alam maya.

Isu teras kebajikan pula, apakah pencapaian yang boleh dibanggakan sekarang ini? Saya maksudkan isu teras, bukan isu populis. Adakah kebajikan mahasiswa OKU sudah terbela? Bagaimana dengan janji-janji HEP untuk memberikan fasiliti sukan untuk OKU? Bagaimana dengan jaminan keselamatan OKU di kampus? Apakah yang telah dilakukan oleh PMUM dalam membantu mahasiswa yang kesempitan wang? Yang paginya menghadiri kuliah, malamnya pula bekerja untuk menampung kos sara hidup yang tinggi. Dimanakah PMUM?

Saya melihat PMUM terlalu berlembut dengan pihak pentadbiran, sehinggakan pihak pentadbiran bebas mencampuri urusan PMUM yang telah dirancang sekian lama. Berlembut itu perlu, namun biar kena pada masanya. Berlembut bukan bermakna membiarkan pendirian kita dicabut, bertegas bukan bermakna kita berkeras. Itulah kebijaksanaan yang perlu ada bagi seorang pemimpin.

Saya mengharapkan sesi kepimpinan yang berbaki tidak lama lagi ini, PMUM dapat bangkit kembali. Bekerja sebagai satu pasukan dan bukannya syok sendiri. Sekarang ini ialah fasa kalian memimpin, pimpinlah kami dengan penuh amanah. Saya menegur untuk kebaikan bersama. Jangan sampai mahasiswa jemu dengan PMUM lalu berdemonstrasi di hadapan pejabat PMUM.

Ikhlas dari Siswa Marhaen.

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 comments: