Masjid Ar-Rahman UM: Dari kuliah haraki ke aksi jalanan

0
07:50
Tulisan ini saya coretkan sebagai satu lontaran pandangan saya sekitar isu Masjid Ar-Rahman yang kini telah ditutup buat sementara waktu atas tujuan renovasi.  Meskipun tulisan ini tidak banyak menggunapakai rujukan-rujukan yang dapat dijamin kesahihahannya, namun fakta dalam tulisan ini kebanyakannya merupakan fakta yang boleh dikategorikan sebagai mutawattir .
Masjid Ar-Rahman UM merupakan sebuah masjid yang sarat dengan historical values, lambang kepada daya aktivisme mahasiswa dan juga penduduk Kampung Kerinchi baik dalam bidang keilmuan mahupun aksi-aksi radikal di jalanan. Masjid yang terletak di Lembah Pantai, berdekatan dengan pintu utama UM ini sering menjadi tempias polemik politik yang tidak berkesudahan.
            Masjid ini sering menjadi rebutan jargon politik untuk melebarkan sayap ideologi masing-masing. Dengan kedudukannya yang strategik (berada di tepi jalan utama Persekutuan dan Bangsar), masjid ini boleh dihiperbolakan seperti kepentingan Melaka dan Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang menjadi persinggahan pelabur-pelabur asing dari China dan juga India. Bermula dengan penubuhan masjid inilah, kawasan sekitar Kerinchi dan Universiti Malaya (UM) menumpang teduh keilmuan daripada masjid ini.
Bermula dengan siri kuliah dan khutbah, akhirnya aktivisme ini mula dilampiaskan kepada perlawanan terbuka dengan penguasa zalim. Siri-siri demonstrasi kerap dicetuskan di Masjid Ar-Rahman (sehinggalah masjid ini ditutup), masjid ini mengambil alih peranan Speaker Corner UM yang semakin tumpul taringnya kerana sekatan pihak universiti. Siri kuliah saban malam di Masjid Ar-Rahman menjadi pusat penyebaran faham haraki kepada jemaah masjid tersebut. 
Special Branch (SB) yang tiap-tiap malam mengintip di sana barangkali juga sudah jemu untuk melaporkan ucapan-ucapan para ustaz yang boleh dikategorikan sebagai “menghasut” para jemaah untuk menukar kerajaan yang penuh dengan rasuah dan bergelumang dengan kebejatan moral.
Ceramah-ceramah di masjid tersebut tidak dapat dipisahkan daripada menyentuh isu-isu semasa, meskipun kadangkala saya kurang senang dengan pendekatan yang berlebihan (terlalu berkait dengan politik) itu namun tidak dapat dinafikan kejayaan menyampaikan maklumat dari sisi pandang yang berbeza dari yang dilaporkan oleh media arus perdana.

Sejarah Penubuhan
Menyedari keperluan mendesak adanya masjid di kawasan UM, Presiden PMIUM ketika itu, Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji) mengambil kata putus untuk menghantar surat permohonan kepada Jabatan Perdana Menteri ada tahun 1961.
Nama asal masjid ini ialah Masjid Universiti Tanah Melayu, ditukar namanya kepada Masjid Ar-Rahman (sempena nama Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjadi perintis pembinaan masjid tersebut) mula dibina pada tahun 1962 dan pada 23 Ogos 1963 masjid tersebut telah dirasmikan sendiri oleh Yang Dipertua Agong ketika itu iaitu, Tuanku Syed Putra Jamalullail (papan tanda perasmian itu masih dikekalkan sehingga sekarang).
Sejak daripada itu, masjid ini diletakkan di bawah pengurusan UM sebelum berpindah ke tangan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 1968 iaitu selepas berlaku baikpulih dan naiktaraf masjid yang pertama. Peristiwa peralihan kuasa pengurusan masjid kepada pihak JAWI itulah menjadi titik tolak kepada perlawanan yang berlaku pada hari ini (meskipun pada ketika itu tidak begitu parah).

Siri-siri  demonstrasi
Antara demonstrasi yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk dan mahasiswa ialah demonstrasi bantahan pembinaan Kerinchi Link pada 21 Februari 1999. Plan asal pembinaan laluan alternatif  dari Lebuhraya Persekutuan ke Damansara tersebut dikatakan akan dibina merentasi bahagian atas kawasan masjid. Terasa agama diperlekehkan sedemikian rupa,  penduduk dan juga mahasiswa sanggup dihujani dengan water cannon FRU untuk mempertahankan kedaulatan masjid tersebut. 
Dalam demonstrasi tersebut, seramai 3 orang mahasiswa telah ditahan polis. Kejayaan demontrasi radikal ini dapat dilihat hasilnya sehinggalah ke hari ini apabila Kerinchi Link telah diubah laluannya daripada melalui kawasan aatas masjid kepada melengkung agak jauh daripada kawasan masjid. 
Antara siri lain demonstrasi yang dimulakan di Masjid Ar-Rahman ialah demonstrasi bantahan terhadap kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia yang disertai kira-kira 1500 orang mahasiswa. Demonstrasi menuntut Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 30 November 1998 juga bermula di masjid ini pada 30 November 1998 sebelum berarak ke Lebuhraya Persekutuan. 

Kisah perebutan kuasa pengurusan masjid
11 Ogos 2011 merupakan kemuncak kepada perebutan kuasa pengurusan ini. Pada waktu itulah Datuk Ibrahim Tamby Chik (Setiausaha Umno Bahagian Lembah Pantai merangkap Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Lembah Pantai) telah dilantik menjadi pengerusi masjid. Kariah dan ahli jemaah masjid tersebut kurang senang dengan pelantikan tersebut antaranya kerana pengerusi tersebut ialah individu yang berjawatan dalam parti politik dan juga kurang solat secara berjemaah disitu. 
            Permulaan tahun baru 2012 dimulakan dengan kekecohan apabila dua kuliah Maghrib telah dijalankan secara serentak.  Jawatankuasa yang baru telah menukar barisan penceramah yang telah disusun sebelum ini. Tautan video di bawah merupakan kekecohan yang berlaku pada hari kedua tahun baru:

http://www.youtube.com/watch?v=07jT0awH_8g

Kolah wuduk bernilai 20K  dan penyelewengan kewangan
Pada bulan November 2011, jumlah kutipan derma yang berjaya dikutip ialah sebanyak RM12 864.00 tetapi jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah sebanyak RM9 031.57. Jumlah wang yang tidak dimasukkan ke dalam akaun masjid ialah sebanyak RM3 832.43.
            Bagi bulan Disember 2011 pula, jumlah kutipan yang berjaya diperolehi ialah sebanyak RM16 660.00 tetapi  jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun hanyalah sebanyak RM9 706.47. Jumlah yang tidak dimasukkan ke dalam akaun ialah sebanyak RM6,953.53.
Pada 29 September 2011, pihak Jawi telah memberikan kontrak bagi kerja-kerja membina kolah untuk keperluan berwuduk di masjid itu kepada sebuah syarikat iaitu Pembinaan Maidah yang beralamat di Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Mahasiswa UM bergotong-royong membersihkan kolah wuduk bernilai 20k

Nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan koah tersebut ialah sebanyak RM19 986.85! Apabila dilihat hasil kerja yang dilakukan serta mendapat pandangan beberapa kontraktor bertauliah, didapati nilai kontrak yang sebanyak RM19,986.85 adalah tidak masuk akal. Anggaran pembinaan kolah tersebut hanyalah sekitar RM 5000 hingga RM 8000 sahaja.





Penutupan Masjid Ar-Rahman

Berita mengenai penutupan Masjid Ar-Rahman 

Masjid Ar-Rahman menerima notis penutupan mengejut pada November 2012, arahan penutupan masjid tersebut menimbulkan perasaan sangsi dalam kalangan Jemaah masjid kerana Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak mengeluarkan sebarang surat pengesahan penutupan masjid tersebut. Malah, nama kontraktor yang terlibat dalam revovasi itu juga tidak dicatatkan. Tempoh masa renovasi yang menjadi rahsia juga menjadi punca kepada ketidakpercayaan jemaah terhadap arahan tersebut.

Saudara Bukhairy membaca doa dan Qunut Nazilah

            Satu protes besar-besaran telah diadakan pada hari Jumaat berikutnya yang disertai oleh mahasiswa UM dan juga penduduk Kerinchi.  Demonstrasi ini mengimbau semula semangat perpaduan antara mahasiswa UM dan juga penduduk Kerinchi dalam mempertahankan masjid ini.
Kata-kata Presiden PMIUM ketika itu, Syis Abdul Kadir masih berbekas dalam hati saya ketika menghalang penutupan Masjid Ar-Rahman, “Mahasiswa akan tetap mempertahankan masjid ini dari dirobohkan, kami sedia menjadi imam, khatib dan bilal sekiranya tiada wakil yang dihantar oleh JAWI. Kami juga akan menyediakan khemah untuk solat di perkarangan masjid!”.

Protes penutupan Masjid Ar-Rahman

Setelah berhasil membantah perobohan masjid tersebut buat suatu tempoh masa tertentu, akhirnya ahli kariah masjid, jemaah dan mahasiswa terpaksa akur dengan permintaan untuk membaikpulih masjid tersebut. Itulah demonstrasi terakhir yang diadakan di masjid tersebut. Persoalannya, adakah Masjid Ar-Rahman akan kekal memainkan peranannya sebagai pusat intelektual setelah masjid ini siap diubahsuai? Berjayakah parti pemerintah untuk mengambil-alih pengurusan masjid bersejarah itu? 

Laungan keramat mahasiswa diabadikan berhampiran tangga masjid




           












0 comments: