Buku yang mendewasakan saya

1
01:32
Sahabat saya, Farid Akram mencabar saya untuk menyenaraikan 10 buah buku yang paling memberi kesan terhadap hidup saya. Jujurnya, bacaan saya banyak dipengaruhi oleh Allahyarham ayahanda saya, yang merupakan seorang pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu:

1)Hikayat Hang Tuah: Hikayat ini saya "dipaksa" baca oleh Almarhum ayah saya ketika saya bersekolah rendah walaupun sepatah haram tidak faham. Katanya apa guna jadi orang Melayu kalau tidak kenal dengan lagenda Melayu. ketika itu saya sangat mengagumi Hang Tuah sehinggalah saya membaca tulisan Hang Tuah dari sudut pandang Kassim Ahmad.

2)Di Bawah Lindungan Kaabah, Hamka: Buku ini saya baca selepas seorang sahabat mencadangkan kepada saya. Ini ialah tulisan pertama Hamka yang saya baca dan menjadikan saya pentaksub kepada Hamka. Lagipun buku ini nipis sekali, dan tulisannya besar-besar, cukup untuk mula bertatih-tatih membaca karyanya.

3)Konserto Terakhir, Abdullah Hussain: Novel ini pun saya terpaksa baca ketika mengambil SPM. Novel ini berjaya membuka minat saya untuk membaca novel-novel serius yang lain.Perihal percintaan seorang seniman.

4)Limpahan Darah Di Sungai Semur, Zakaria Salleh: Saya tergelak-gelak apabila teringatkan novel ini, kenapalah novel yang wajib dibaca ini novel menjadi pendorong semangat kepada saya untuk melanjutkan pengajian di Maktab Tentera Diraja. Novel yang mengisahkan perlawanan anggota keselamatan dengan komunis

5)Mahasiswa Menggugat, Muhammad Abu Bakar: Buku ini saya cari dan baca selepas saya tamat tingkatan enam. Buku inilah menambah minat saya untuk memasuki UM, seterusnya menyertai PBMUM, PMUM, PMIUM dan demonstrasi. Magnum Opus penting bagi gerakan mahasiswa Malaysia dan aktivis seperti saya.

6)Memoir Politik Syed Husin Ali: Melalui buku ini, saya mula mengumpulkan dan membaca tulisan-tulisan Syed Husin Ali yang lain. Antara rujukan penting dalam bidang pengajian saya di Akademi Pengajian Melayu khususnya dalam bidang sosiobudaya (antropologi).

7)Sulalatus Salatin: Buku yang terpaksa dihadam ketika tingkatan enam, itupun sebab perlu berdepan dengan STPM. Alhamdulillah sampai sekarang saya masih ingat kandungan-kandungan dalam buku tersebut. Saya lebih memahami peristiwa-peristiwa penting dalam Sulalatus Salatin ini apabila membaca novel A. Samad Ahmad yang bertajuk Zaman Gerhana.

8)Natrah, Fatini Yaacob: Buku ini sangat bagus untuk dibaca, sebuah isu yang boleh dilihat dari aspek perundangan yang menampakkan betapa kuasa Mahkamah Syariah ini sangat rendah martabatnya. Untuk lebih memahami Natrah ini, saya beralih kepada karya Isa Kamari iaitu Atas Nama Cinta.

9)Tersungkur di Pintu Syurga, Zabidi Mohamed: Buku mengenai perjalanan Al-Arqam, melalui buku ini, saya dapat dua perkara yang penting dalam dunia aktivisme. Satu, peranan aktivis dakwah juga boleh mencetuskan fenomena politik tanah air dan yang kedua dan terpenting ialah, saya mampu memahami bagaimana polis cawangan khas (SB) bergerak kerja dalam menggagalkan setiap usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

10)Wira Tidak Didendang, Zaim Zainuddin: Buku terbitan Utusan ini menarik perhatian saya kerana turut menyentuh bagaimana peranan polis cawangan khas (SB) dalam berunding dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai di Hatyai. Melalui buku ini, pengarang secara tidak langsung telah mendedahkan modus operandi polis cawangan khas ini. Jadi selepas ini, jangan hairan kalau SB susah mahu tangkap saya...hahahaha

Ini antara buku-buku yang melekat dalam minda saya, dan maaf kalau buku-buku saya ini kebanyakannya hanya menyentuh perihal politik, sejarah dan kesusasteraan, kerana buku genre ini lebih signifikan untuk saya beramal di dunia nyata. Saya cabar pula senior saya Mohd Annas Shafiq EyüboğluArif Atan dan juga kakak saya Fariza Nurbaya untuk menyenaraikan 10 buah buku yang paling mengesankan hidup.
Continue reading →

UG atau Anwarinas: Bertanggungjawablah!

0
22:29
Dalam sesebuah organisasi, teramat malang sekiranya sesuatu idea atau gagasan tidak berani dipertanggungjawabkan. Hanya berani melontarkan idea, tetapi tidak berani menerima kesan daripada idea tersebut. Orang sebegini sepatutnya diberi gelaran khusus walaupun tidak digelar munafik haraki. 

Politik kepartian sudah patut menginjak ke fasa baru, iaitu fasa keterbukaan. Kecoh dalam PAS sekarang ini, pertembungan (boleh dibaca dalam nada positif) dua kelompok yang boleh digelar sebagai pendokong idea kerajaan perpaduan (UG) dan satu lagi yang dilihat lebih pro-Anwar (Anwarinas: Satu gelaran yang unik).

Pada saya, idea-idea tersebut sama ada kerajaan perpaduan atau pro-Anwar patut dilihat dengan lebih matang. Individu yang menggagaskan idea tersebut patut tampil dan berhujah supaya ahli bawahan tidak terkeliru dan termakan hujah sebelah pihak sahaja. Mungkin gagasan UG ada hujahnya yang boleh diterima, mungkin yang pro-Anwar ada hujahnya yang meyakinkan juga.

Mungkin ada orang cakap, buat begitu lagilah berlaku perpecahan, ada benarnya juga jika difaham dalam kerangka negatif. Paling tidak, sesuatu idea itu boleh diperbahaskan dan diperhalusi, serta boleh dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu atau pendokong gagasan itu. Kalau tidak, sampai mati pun kita hidup dalam prejudis dan sangka-sangkaan sahaja. Jangan hanya berani baling batu sembunyi tangan, kerana sifat itu juga sifat yang cela.
Continue reading →

Ulama bukan nabi

0
22:28
Cubalah berlaku adil dalam mengkritik dan berbahas mencari kebenaran. Gunalah hujah untuk menegakkan "sentimen" bukannya sentimen dijadikan hujah. Nilai sebaiknya hujah yang datang dari kedua-dua belah pihak bukannya nilai dari sumber terdekat kita sahaja.

Jujur saya cakap, saya gagal untuk menisbahkan sesuatu kebenaran bersandarkan kepada sesuatu gelaran hasil pengangkatan manusia (tidak maksum) sama ada profesor, ulama, jawatan dan sebagainya kerana semua itu masih lagi terdapat ruang yang jelas untuk diselongkar dan dibahaskan.

Kadangkala kita perlukan ketaatan tanpa berbelah bahagi Hang Tuah sebagai lambang cinta agung namun adakalanya kita memerlukan kederhakaan (baca dalam nada positif) Hang Jebat bagi memastikan kebenaran itu masih hidup untuk dipertahankan.

Namun, benarkah kita sudah mengadili sesuatu perkara? Atau kita hanya menerima bulat-bulat tanpa sebarang tapisan (atas faktor maklumat diperolehi daripada sumber terdekat dengan kita?). Kalau kita belum mengadili (menganalisis, membahas) macam mana kita boleh berhukum? (menentukan siapa benar dan salah).
Continue reading →

Isu MB Selangor: Kalaulah aku unit saraf UMNO

0
22:26
Aku cuba memposisikan pemikiran aku sekiranya aku berada dalam unit saraf UMNO dalam memanipulasi sebaik mungkin konflik yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Pertama, aku akan tonjolkan imej Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai rekod perhidmatan yang sangat cemerlang melalui media arus perdana sehinggakan rakyat berasa tidak wajar untuk menukar MB sedia ada. Langkah pertama aku rasa sudah berjalan sekarang alhamdulillah.

Kemudian, aku akan buka ruang kepada pimpinan PAS untuk menyatakan pendirian PAS (atau pendirian Presiden) melalui satu slot khas di televisyen mengenai isu MB Selangor. Paling tidak, aku akan petik kata-kata pimpinan PAS dan beberapa kenyataan bercanggah antara Mahfuz dan Tuan Guru Haji Hadi bagi menampakkan keadaan kucar-kacir dalam PR dan membina keraguan dalam penyokong PR dan golongan atas pagar.

Langkah seterusnya lebih mudah, aku akan leraikan kesatuan parti dalam PR. Aku akan tonjolkan imej PKR yang buruk dari sudut prinsip dan akhlak. Aku ungkit balik isu wakil rakyat PKR lompat parti dan naikkan imej PAS sebagai sebuah parti yang paling berintegriti dan bermoral dengan harapan penyokong dan pimpinan PAS meragui tahaluf siyasi PAS dalam PR. Aku akan imejkan UMNO sebagai parti yang paling sesuai untuk berpakat dengan PAS bagi menjamin perpaduan ummah (dalam kerangka yang sempit Islam-Melayu).

Tidak cukup dengan itu aku akan wujudkan perbahasan fiqh tentang penglibatan wanita sebagai pemimpin. Aku manfaatkan semula ulama-ulama dan institusi pondok yang berpihak kepada "kami"(UMNO) dan menyempitkan perbahasan tersebut sekitar isu haid, keutamaan tanggungjawab kepada suami dan keluarga serta pengurusan emosi yang tidak stabil.

Selesai pengurusan persepsi kepada rakyat, aku akan hantar wakil untuk berunding dengan PAS, aku akan yakinkan PAS bahawa cita-cita negara Islam hanya boleh dicapai melalui kerjasama UMNO-PAS sahaja. Aku akan buktikan kesungguhan "kami" dengan memberi bantuan pembangunan dan material kepada kerajaan PAS di Kelantan, dengan prestasi tidak memberansangkan kerajaan PAS Kelantan sekarang ini aku rasa tawaran itu sangat menggiurkan bagi membuktikan kejayaan PAS Kelantan yang dihentam teruk akhir-akhir ini. Sebagai timbal-balik, aku akan bagi jaminan kepada PAS bahawa UMNO tidak akan kacau daun di Kelantan lagi dan akan memberi bantuan langsung kepada kerajaan Kelantan selagi ada bulan dan bintang.

Agenda seterusnya ialah membawa PAS ke dalam BN atau paling tidakpun membawa PAS keluar daripada PR. Apabila BN kuat balik, aku tidak akan tendang PAS kerana ini mungkin akan menimbulkan kemarahan rakyat tetapi sebaliknya aku akan bagi keselesaan kepada PAS dan buatkan rakan tahaluf aku itu (PAS) merasakan cukup diri mereka dihargai.

Sekian khayalan aku, tetapi aku yakin tidak mungkinlah pimpinan PAS sedayus itu dan sebodoh itu untuk keluar daripada Pakatan Rakyat untuk bersama dengan UMNO. Tidak mungkin, tidak mungkin, aku harap tidak mungkin, aku rasa tidak mungkin atau benarkah mungkin?
Continue reading →

Masjid Ar-Rahman UM: Dari kuliah haraki ke aksi jalanan

0
07:50
Tulisan ini saya coretkan sebagai satu lontaran pandangan saya sekitar isu Masjid Ar-Rahman yang kini telah ditutup buat sementara waktu atas tujuan renovasi.  Meskipun tulisan ini tidak banyak menggunapakai rujukan-rujukan yang dapat dijamin kesahihahannya, namun fakta dalam tulisan ini kebanyakannya merupakan fakta yang boleh dikategorikan sebagai mutawattir .
Masjid Ar-Rahman UM merupakan sebuah masjid yang sarat dengan historical values, lambang kepada daya aktivisme mahasiswa dan juga penduduk Kampung Kerinchi baik dalam bidang keilmuan mahupun aksi-aksi radikal di jalanan. Masjid yang terletak di Lembah Pantai, berdekatan dengan pintu utama UM ini sering menjadi tempias polemik politik yang tidak berkesudahan.
            Masjid ini sering menjadi rebutan jargon politik untuk melebarkan sayap ideologi masing-masing. Dengan kedudukannya yang strategik (berada di tepi jalan utama Persekutuan dan Bangsar), masjid ini boleh dihiperbolakan seperti kepentingan Melaka dan Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang menjadi persinggahan pelabur-pelabur asing dari China dan juga India. Bermula dengan penubuhan masjid inilah, kawasan sekitar Kerinchi dan Universiti Malaya (UM) menumpang teduh keilmuan daripada masjid ini.
Bermula dengan siri kuliah dan khutbah, akhirnya aktivisme ini mula dilampiaskan kepada perlawanan terbuka dengan penguasa zalim. Siri-siri demonstrasi kerap dicetuskan di Masjid Ar-Rahman (sehinggalah masjid ini ditutup), masjid ini mengambil alih peranan Speaker Corner UM yang semakin tumpul taringnya kerana sekatan pihak universiti. Siri kuliah saban malam di Masjid Ar-Rahman menjadi pusat penyebaran faham haraki kepada jemaah masjid tersebut. 
Special Branch (SB) yang tiap-tiap malam mengintip di sana barangkali juga sudah jemu untuk melaporkan ucapan-ucapan para ustaz yang boleh dikategorikan sebagai “menghasut” para jemaah untuk menukar kerajaan yang penuh dengan rasuah dan bergelumang dengan kebejatan moral.
Ceramah-ceramah di masjid tersebut tidak dapat dipisahkan daripada menyentuh isu-isu semasa, meskipun kadangkala saya kurang senang dengan pendekatan yang berlebihan (terlalu berkait dengan politik) itu namun tidak dapat dinafikan kejayaan menyampaikan maklumat dari sisi pandang yang berbeza dari yang dilaporkan oleh media arus perdana.

Sejarah Penubuhan
Menyedari keperluan mendesak adanya masjid di kawasan UM, Presiden PMIUM ketika itu, Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji) mengambil kata putus untuk menghantar surat permohonan kepada Jabatan Perdana Menteri ada tahun 1961.
Nama asal masjid ini ialah Masjid Universiti Tanah Melayu, ditukar namanya kepada Masjid Ar-Rahman (sempena nama Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjadi perintis pembinaan masjid tersebut) mula dibina pada tahun 1962 dan pada 23 Ogos 1963 masjid tersebut telah dirasmikan sendiri oleh Yang Dipertua Agong ketika itu iaitu, Tuanku Syed Putra Jamalullail (papan tanda perasmian itu masih dikekalkan sehingga sekarang).
Sejak daripada itu, masjid ini diletakkan di bawah pengurusan UM sebelum berpindah ke tangan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 1968 iaitu selepas berlaku baikpulih dan naiktaraf masjid yang pertama. Peristiwa peralihan kuasa pengurusan masjid kepada pihak JAWI itulah menjadi titik tolak kepada perlawanan yang berlaku pada hari ini (meskipun pada ketika itu tidak begitu parah).

Siri-siri  demonstrasi
Antara demonstrasi yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk dan mahasiswa ialah demonstrasi bantahan pembinaan Kerinchi Link pada 21 Februari 1999. Plan asal pembinaan laluan alternatif  dari Lebuhraya Persekutuan ke Damansara tersebut dikatakan akan dibina merentasi bahagian atas kawasan masjid. Terasa agama diperlekehkan sedemikian rupa,  penduduk dan juga mahasiswa sanggup dihujani dengan water cannon FRU untuk mempertahankan kedaulatan masjid tersebut. 
Dalam demonstrasi tersebut, seramai 3 orang mahasiswa telah ditahan polis. Kejayaan demontrasi radikal ini dapat dilihat hasilnya sehinggalah ke hari ini apabila Kerinchi Link telah diubah laluannya daripada melalui kawasan aatas masjid kepada melengkung agak jauh daripada kawasan masjid. 
Antara siri lain demonstrasi yang dimulakan di Masjid Ar-Rahman ialah demonstrasi bantahan terhadap kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia yang disertai kira-kira 1500 orang mahasiswa. Demonstrasi menuntut Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 30 November 1998 juga bermula di masjid ini pada 30 November 1998 sebelum berarak ke Lebuhraya Persekutuan. 

Kisah perebutan kuasa pengurusan masjid
11 Ogos 2011 merupakan kemuncak kepada perebutan kuasa pengurusan ini. Pada waktu itulah Datuk Ibrahim Tamby Chik (Setiausaha Umno Bahagian Lembah Pantai merangkap Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Lembah Pantai) telah dilantik menjadi pengerusi masjid. Kariah dan ahli jemaah masjid tersebut kurang senang dengan pelantikan tersebut antaranya kerana pengerusi tersebut ialah individu yang berjawatan dalam parti politik dan juga kurang solat secara berjemaah disitu. 
            Permulaan tahun baru 2012 dimulakan dengan kekecohan apabila dua kuliah Maghrib telah dijalankan secara serentak.  Jawatankuasa yang baru telah menukar barisan penceramah yang telah disusun sebelum ini. Tautan video di bawah merupakan kekecohan yang berlaku pada hari kedua tahun baru:

http://www.youtube.com/watch?v=07jT0awH_8g

Kolah wuduk bernilai 20K  dan penyelewengan kewangan
Pada bulan November 2011, jumlah kutipan derma yang berjaya dikutip ialah sebanyak RM12 864.00 tetapi jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah sebanyak RM9 031.57. Jumlah wang yang tidak dimasukkan ke dalam akaun masjid ialah sebanyak RM3 832.43.
            Bagi bulan Disember 2011 pula, jumlah kutipan yang berjaya diperolehi ialah sebanyak RM16 660.00 tetapi  jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun hanyalah sebanyak RM9 706.47. Jumlah yang tidak dimasukkan ke dalam akaun ialah sebanyak RM6,953.53.
Pada 29 September 2011, pihak Jawi telah memberikan kontrak bagi kerja-kerja membina kolah untuk keperluan berwuduk di masjid itu kepada sebuah syarikat iaitu Pembinaan Maidah yang beralamat di Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Mahasiswa UM bergotong-royong membersihkan kolah wuduk bernilai 20k

Nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan koah tersebut ialah sebanyak RM19 986.85! Apabila dilihat hasil kerja yang dilakukan serta mendapat pandangan beberapa kontraktor bertauliah, didapati nilai kontrak yang sebanyak RM19,986.85 adalah tidak masuk akal. Anggaran pembinaan kolah tersebut hanyalah sekitar RM 5000 hingga RM 8000 sahaja.





Penutupan Masjid Ar-Rahman

Berita mengenai penutupan Masjid Ar-Rahman 

Masjid Ar-Rahman menerima notis penutupan mengejut pada November 2012, arahan penutupan masjid tersebut menimbulkan perasaan sangsi dalam kalangan Jemaah masjid kerana Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak mengeluarkan sebarang surat pengesahan penutupan masjid tersebut. Malah, nama kontraktor yang terlibat dalam revovasi itu juga tidak dicatatkan. Tempoh masa renovasi yang menjadi rahsia juga menjadi punca kepada ketidakpercayaan jemaah terhadap arahan tersebut.

Saudara Bukhairy membaca doa dan Qunut Nazilah

            Satu protes besar-besaran telah diadakan pada hari Jumaat berikutnya yang disertai oleh mahasiswa UM dan juga penduduk Kerinchi.  Demonstrasi ini mengimbau semula semangat perpaduan antara mahasiswa UM dan juga penduduk Kerinchi dalam mempertahankan masjid ini.
Kata-kata Presiden PMIUM ketika itu, Syis Abdul Kadir masih berbekas dalam hati saya ketika menghalang penutupan Masjid Ar-Rahman, “Mahasiswa akan tetap mempertahankan masjid ini dari dirobohkan, kami sedia menjadi imam, khatib dan bilal sekiranya tiada wakil yang dihantar oleh JAWI. Kami juga akan menyediakan khemah untuk solat di perkarangan masjid!”.

Protes penutupan Masjid Ar-Rahman

Setelah berhasil membantah perobohan masjid tersebut buat suatu tempoh masa tertentu, akhirnya ahli kariah masjid, jemaah dan mahasiswa terpaksa akur dengan permintaan untuk membaikpulih masjid tersebut. Itulah demonstrasi terakhir yang diadakan di masjid tersebut. Persoalannya, adakah Masjid Ar-Rahman akan kekal memainkan peranannya sebagai pusat intelektual setelah masjid ini siap diubahsuai? Berjayakah parti pemerintah untuk mengambil-alih pengurusan masjid bersejarah itu? 

Laungan keramat mahasiswa diabadikan berhampiran tangga masjid




           












Continue reading →

Hudud: antara dalil, nas dan pelaksanaan

0
21:20
Teringat masa mula-mula masuk UM, ketika itu isu hudud sangat panas. Pemahaman masyarakat tentang hudud sangat terhad. Senang kata, pemahaman masyarakat pada ketika itu yang sering dimomokkan oleh asatizah tentang hudud ialah, "tidak sokong hudud - Kafir. Kafir - Masuk neraka."

Namun alhamdulillah, Majlis Perwakilan Mahasiswa UM pada ketika itu telah mencetuskan satu dimensi baru dalam isu hudud dengan mengadakan satu forum yang bertajuk "Hudud: Relevan atau tidak di Malaysia". Tajuk forum tersebut akhirnya ditegur oleh kesemua panel yang hadir dengan mengatakan, isu hudud bukannya berkisar persoalan relevan ataupun tidak, kerana hukum Allah sudah tentu relevan.

Namun persoalannya ialah, bilakah masa yang sesuai untuk melaksanakan hukum hudud? Adakah ketika dalam keadaan rakyat tertekan dengan krisis ekonomi? Dan apakah model hudud yang paling sesuai untuk diamalkan di negara ini? Panel turut menyentuh soal kebersihan di Kelantan, bukankah kebersihan juga sebahagian daripada tuntutan dalam Islam? Sekali lagi, hudud tetap relevan, namun persoalan pelaksanaan itu yang sering menimbulkan polemik. Jangan risau, masyarakat sedia maklum mengenai kewajipan pelaksanaan hukum hudud, namun perkara apakah yang lebih menjadi keutamaan.

Yang pasti, melaksanakan hudud bukan semudah memberi jawapan "kalau tidak buat salah kenapa mesti takut hudud". Kami tidak takut pun kalau kaum kerabat kami dihukum hudud, kami lebih takut kalau kaum kerabat "dewa kuning" dan politikus kayu balak yang terlepas dari hudud. Apa kata perbaik ekonomi dahulu, sehinggakan rakyat hidup sedikit senang sehinggakan mereka tidak terpanggil lagi untuk melakukan jenayah.
Continue reading →

Coretan sempena hari kebebasan akhbar sedunia

0
21:15
Utusan Melayu suatu ketika dahulu berjaya disusup masuk golongan kiri melalui A. Samad Ismail, atas sebab itulah jiwa perjuangannya lain macam dan radikal. Akhbar di Malaysia hari ini kekontangan pengamal media yang berjiwa aktivis dan radikal, sebab itulah akhbar di Malaysia agak terkebelakang. Saya rasa, akhbar di Malaysia perlu melakukan rombakan besar-besaran, ambil seramai mungkin golongan kiri yang intelek dan radikal dalam penerbitan, barulah gerakan media 
akan lebih kedepan dan digeruni barisan tirani.

Pak Lutfi dalam majlis sempena Hari Kebebasan Media Sedunia semalam ada menyebutkan salah satu kehebatan komuniti Cina di Malaysia ialah mereka kurang bergantung kepada aktor-aktor serta partai-partai politik, tidak seperti komuniti Melayu, jiwa hamba orang Melayu terhadap aktor politik sangat kuat. Hal ini mungkin disebabkan komuniti Cina tahu menghargai tokoh-tokoh dalam bidang yang lain. Cara fikir seperti inilah sebenarnya yang kita perlukan, kalau tidak aktor-aktor dan partai-partai politik akan sentiasa merasakan rakyat memerlukan mereka dan menganggap mereka ialah majikan kepada rakyat. Continue reading →