Masjid Ar-Rahman UM: Dari kuliah haraki ke aksi jalanan
0
Tulisan ini saya
coretkan sebagai satu lontaran pandangan saya sekitar isu Masjid Ar-Rahman yang
kini telah ditutup buat sementara waktu atas tujuan renovasi. Meskipun tulisan ini tidak banyak
menggunapakai rujukan-rujukan yang dapat dijamin kesahihahannya, namun fakta
dalam tulisan ini kebanyakannya merupakan fakta yang boleh dikategorikan
sebagai mutawattir .
Masjid Ar-Rahman UM merupakan sebuah masjid
yang sarat dengan historical values, lambang kepada daya aktivisme
mahasiswa dan juga penduduk Kampung Kerinchi baik dalam bidang keilmuan mahupun
aksi-aksi radikal di jalanan. Masjid yang terletak di Lembah Pantai, berdekatan
dengan pintu utama UM ini sering menjadi tempias polemik politik yang tidak
berkesudahan.
Masjid ini sering menjadi rebutan
jargon politik untuk melebarkan sayap ideologi masing-masing. Dengan
kedudukannya yang strategik (berada di tepi jalan utama Persekutuan dan
Bangsar), masjid ini boleh dihiperbolakan seperti kepentingan Melaka dan Tanah
Melayu suatu ketika dahulu yang menjadi persinggahan pelabur-pelabur asing dari
China dan juga India. Bermula dengan penubuhan masjid inilah, kawasan sekitar
Kerinchi dan Universiti Malaya (UM) menumpang teduh keilmuan daripada masjid
ini.
Bermula dengan siri kuliah dan khutbah,
akhirnya aktivisme ini mula dilampiaskan kepada perlawanan terbuka dengan
penguasa zalim. Siri-siri demonstrasi kerap dicetuskan di Masjid Ar-Rahman
(sehinggalah masjid ini ditutup), masjid ini mengambil alih peranan Speaker
Corner UM yang semakin tumpul taringnya kerana sekatan pihak universiti. Siri
kuliah saban malam di Masjid Ar-Rahman menjadi pusat penyebaran faham haraki
kepada jemaah masjid tersebut.
Special Branch (SB) yang tiap-tiap malam mengintip di
sana barangkali juga sudah jemu untuk melaporkan ucapan-ucapan para ustaz yang
boleh dikategorikan sebagai “menghasut” para jemaah untuk menukar kerajaan yang
penuh dengan rasuah dan bergelumang dengan kebejatan moral.
Ceramah-ceramah di masjid tersebut tidak dapat
dipisahkan daripada menyentuh isu-isu semasa, meskipun kadangkala saya kurang
senang dengan pendekatan yang berlebihan (terlalu berkait dengan politik) itu
namun tidak dapat dinafikan kejayaan menyampaikan maklumat dari sisi pandang
yang berbeza dari yang dilaporkan oleh media arus perdana.
Sejarah Penubuhan
Menyedari keperluan mendesak adanya masjid
di kawasan UM, Presiden PMIUM ketika itu, Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas
Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji) mengambil kata putus untuk menghantar
surat permohonan kepada Jabatan Perdana Menteri ada tahun 1961.
Nama asal masjid ini ialah Masjid
Universiti Tanah Melayu, ditukar namanya kepada Masjid Ar-Rahman (sempena nama
Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjadi perintis pembinaan masjid tersebut)
mula dibina pada tahun 1962 dan pada 23 Ogos 1963 masjid tersebut telah
dirasmikan sendiri oleh Yang Dipertua Agong ketika itu iaitu, Tuanku Syed Putra
Jamalullail (papan tanda perasmian itu masih dikekalkan sehingga sekarang).
Sejak daripada itu, masjid ini diletakkan
di bawah pengurusan UM sebelum berpindah ke tangan Jabatan Agama Wilayah
Persekutuan (JAWI) pada tahun 1968 iaitu selepas berlaku baikpulih dan
naiktaraf masjid yang pertama. Peristiwa peralihan kuasa pengurusan masjid
kepada pihak JAWI itulah menjadi titik tolak kepada perlawanan yang berlaku
pada hari ini (meskipun pada ketika itu tidak begitu parah).
Siri-siri demonstrasi
Antara
demonstrasi yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk dan mahasiswa ialah demonstrasi
bantahan pembinaan Kerinchi Link pada 21 Februari 1999. Plan asal pembinaan
laluan alternatif dari Lebuhraya
Persekutuan ke Damansara tersebut dikatakan akan dibina merentasi bahagian atas
kawasan masjid. Terasa agama diperlekehkan sedemikian rupa, penduduk dan juga mahasiswa sanggup dihujani
dengan water cannon FRU untuk mempertahankan kedaulatan masjid
tersebut.
Dalam demonstrasi tersebut, seramai 3 orang
mahasiswa telah ditahan polis. Kejayaan demontrasi radikal ini dapat dilihat
hasilnya sehinggalah ke hari ini apabila Kerinchi Link telah diubah laluannya
daripada melalui kawasan aatas masjid kepada melengkung agak jauh daripada
kawasan masjid.
Antara siri lain demonstrasi yang dimulakan
di Masjid Ar-Rahman ialah demonstrasi bantahan terhadap kedatangan pasukan
kriket Israel ke Malaysia yang disertai kira-kira 1500 orang mahasiswa. Demonstrasi
menuntut Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 30 November 1998 juga
bermula di masjid ini pada 30 November 1998 sebelum berarak ke Lebuhraya Persekutuan.
Kisah perebutan
kuasa pengurusan masjid
11 Ogos 2011
merupakan kemuncak kepada perebutan kuasa pengurusan ini. Pada waktu itulah
Datuk Ibrahim Tamby Chik (Setiausaha Umno Bahagian Lembah Pantai merangkap
Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Lembah Pantai) telah dilantik menjadi
pengerusi masjid. Kariah dan ahli jemaah masjid tersebut kurang senang dengan
pelantikan tersebut antaranya kerana pengerusi tersebut ialah individu yang
berjawatan dalam parti politik dan juga kurang solat secara berjemaah disitu.
Permulaan tahun baru 2012 dimulakan
dengan kekecohan apabila dua kuliah Maghrib telah dijalankan secara
serentak. Jawatankuasa yang baru telah
menukar barisan penceramah yang telah disusun sebelum ini. Tautan video di bawah
merupakan kekecohan yang berlaku pada hari kedua tahun baru:
http://www.youtube.com/watch?v=07jT0awH_8g
http://www.youtube.com/watch?v=07jT0awH_8g
Kolah wuduk bernilai 20K dan penyelewengan kewangan
Pada bulan November 2011, jumlah kutipan derma
yang berjaya dikutip ialah sebanyak RM12 864.00 tetapi jumlah yang dimasukkan
ke dalam akaun ialah sebanyak RM9 031.57. Jumlah wang yang tidak dimasukkan ke
dalam akaun masjid ialah sebanyak RM3 832.43.
Bagi
bulan Disembe r 2011 pula, jumlah kutipan yang berjaya diperolehi ialah sebanyak
RM16 660.00 tetapi jumlah yang
dimasukkan ke dalam akaun hanyalah sebanyak RM9 706.47. Jumlah yang tidak dimasukkan
ke dalam akaun ialah sebanyak RM6,953.53.
Pada 29 September 2011, pihak Jawi telah
memberikan kontrak bagi kerja-kerja membina kolah untuk keperluan berwuduk di
masjid itu kepada sebuah syarikat iaitu Pembinaan Maidah yang beralamat di
Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mahasiswa UM bergotong-royong membersihkan kolah wuduk bernilai 20k |
Nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan
koah tersebut ialah sebanyak RM19 986.85! Apabila dilihat hasil kerja yang
dilakukan serta mendapat pandangan beberapa kontraktor bertauliah, didapati
nilai kontrak yang sebanyak RM19,986.85 adalah tidak masuk akal. Anggaran
pembinaan kolah tersebut hanyalah sekitar RM 5000 hingga RM 8000 sahaja.
Penutupan Masjid Ar-Rahman
Berita mengenai penutupan Masjid Ar-Rahman |
Masjid Ar-Rahman menerima notis penutupan mengejut
pada November 2012, arahan penutupan masjid tersebut menimbulkan perasaan sangsi
dalam kalangan Jemaah masjid kerana Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI)
tidak mengeluarkan sebarang surat pengesahan penutupan masjid tersebut. Malah,
nama kontraktor yang terlibat dalam revovasi itu juga tidak dicatatkan. Tempoh
masa renovasi yang menjadi rahsia juga menjadi punca kepada ketidakpercayaan jemaah
terhadap arahan tersebut.
Saudara Bukhairy membaca doa dan Qunut Nazilah |
Satu
protes besar-besaran telah diadakan pada hari Jumaat berikutnya yang disertai
oleh mahasiswa UM dan juga penduduk Kerinchi.
Demonstrasi ini mengimbau semula semangat perpaduan antara mahasiswa UM
dan juga penduduk Kerinchi dalam mempertahankan masjid ini.
Kata-kata Presiden PMIUM ketika itu, Syis
Abdul Kadir masih berbekas dalam hati saya ketika menghalang penutupan Masjid
Ar-Rahman, “Mahasiswa akan tetap mempertahankan masjid ini dari dirobohkan,
kami sedia menjadi imam, khatib dan bilal sekiranya tiada wakil yang dihantar
oleh JAWI. Kami juga akan menyediakan khemah untuk solat di perkarangan masjid!”.
Protes penutupan Masjid Ar-Rahman |
Setelah berhasil membantah perobohan
masjid tersebut buat suatu tempoh masa tertentu, akhirnya ahli kariah masjid, jemaah
dan mahasiswa terpaksa akur dengan permintaan untuk membaikpulih masjid
tersebut. Itulah demonstrasi terakhir yang diadakan di masjid tersebut. Persoalannya, adakah Masjid Ar-Rahman akan kekal memainkan peranannya sebagai pusat intelektual setelah masjid ini siap diubahsuai? Berjayakah parti pemerintah untuk mengambil-alih pengurusan masjid bersejarah itu?
Laungan keramat mahasiswa diabadikan berhampiran tangga masjid |
0 comments: