Isu MB Selangor: Kalaulah aku unit saraf UMNO

0
22:26
Aku cuba memposisikan pemikiran aku sekiranya aku berada dalam unit saraf UMNO dalam memanipulasi sebaik mungkin konflik yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Pertama, aku akan tonjolkan imej Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai rekod perhidmatan yang sangat cemerlang melalui media arus perdana sehinggakan rakyat berasa tidak wajar untuk menukar MB sedia ada. Langkah pertama aku rasa sudah berjalan sekarang alhamdulillah.

Kemudian, aku akan buka ruang kepada pimpinan PAS untuk menyatakan pendirian PAS (atau pendirian Presiden) melalui satu slot khas di televisyen mengenai isu MB Selangor. Paling tidak, aku akan petik kata-kata pimpinan PAS dan beberapa kenyataan bercanggah antara Mahfuz dan Tuan Guru Haji Hadi bagi menampakkan keadaan kucar-kacir dalam PR dan membina keraguan dalam penyokong PR dan golongan atas pagar.

Langkah seterusnya lebih mudah, aku akan leraikan kesatuan parti dalam PR. Aku akan tonjolkan imej PKR yang buruk dari sudut prinsip dan akhlak. Aku ungkit balik isu wakil rakyat PKR lompat parti dan naikkan imej PAS sebagai sebuah parti yang paling berintegriti dan bermoral dengan harapan penyokong dan pimpinan PAS meragui tahaluf siyasi PAS dalam PR. Aku akan imejkan UMNO sebagai parti yang paling sesuai untuk berpakat dengan PAS bagi menjamin perpaduan ummah (dalam kerangka yang sempit Islam-Melayu).

Tidak cukup dengan itu aku akan wujudkan perbahasan fiqh tentang penglibatan wanita sebagai pemimpin. Aku manfaatkan semula ulama-ulama dan institusi pondok yang berpihak kepada "kami"(UMNO) dan menyempitkan perbahasan tersebut sekitar isu haid, keutamaan tanggungjawab kepada suami dan keluarga serta pengurusan emosi yang tidak stabil.

Selesai pengurusan persepsi kepada rakyat, aku akan hantar wakil untuk berunding dengan PAS, aku akan yakinkan PAS bahawa cita-cita negara Islam hanya boleh dicapai melalui kerjasama UMNO-PAS sahaja. Aku akan buktikan kesungguhan "kami" dengan memberi bantuan pembangunan dan material kepada kerajaan PAS di Kelantan, dengan prestasi tidak memberansangkan kerajaan PAS Kelantan sekarang ini aku rasa tawaran itu sangat menggiurkan bagi membuktikan kejayaan PAS Kelantan yang dihentam teruk akhir-akhir ini. Sebagai timbal-balik, aku akan bagi jaminan kepada PAS bahawa UMNO tidak akan kacau daun di Kelantan lagi dan akan memberi bantuan langsung kepada kerajaan Kelantan selagi ada bulan dan bintang.

Agenda seterusnya ialah membawa PAS ke dalam BN atau paling tidakpun membawa PAS keluar daripada PR. Apabila BN kuat balik, aku tidak akan tendang PAS kerana ini mungkin akan menimbulkan kemarahan rakyat tetapi sebaliknya aku akan bagi keselesaan kepada PAS dan buatkan rakan tahaluf aku itu (PAS) merasakan cukup diri mereka dihargai.

Sekian khayalan aku, tetapi aku yakin tidak mungkinlah pimpinan PAS sedayus itu dan sebodoh itu untuk keluar daripada Pakatan Rakyat untuk bersama dengan UMNO. Tidak mungkin, tidak mungkin, aku harap tidak mungkin, aku rasa tidak mungkin atau benarkah mungkin?

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 comments: