Psikoanalisis Sigmund Freud; Satu Praktikal.

0
06:03
Sedang mengkaji teori Psikoanalisis (kemungkinan esok ditanya) yang dikemukakan oleh Sigmund Freud dan cuba untuk kaitkan dengan isu-isu semasa. Saya tertarik untuk kaitkan dengan Benz Ali, sosok tubuh yang dikatakan sosialis (saya rasakan tidak). Freud membahagikan teori ini kepada tiga struktur utama teorinya iaitu Id, ego dan super ego. ID diandaikan sebagai satu gejala neutral yang berada dalam pemikiran individu (yang perlu dipuaskan kehendak itu). Dalam hal Benz Ali, mengkafir dan memunafikkannya tidak akan mencipta satu solusi bahkan akan menambah masalah sedia ada. Lalu, puaskannya melalui serangan hujah yang betul-betul padu.

Ego ialah cara seseorang individu itu bertindak balas apabila didatangkan permasalahan atau persoalan. Sama ada melalui penentangan berterusan, ataupun pasif yang berterusan. Dalam kes Benz Ali, dia sedang melakukan penentangan berterusan. Cuma terpulang kepada kita bagaimana untuk menyesuaikan fungsi penentangan itu mengikut keadaan. Sama ada mengkafirkannya, atau memanfaatkan kebolehannya untuk kedepankan lagi Islam.

Seterusnya ialah super ego, super ego boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk moral yang mengawal ID dan ego. Super ego sentiasa mewujudkan imej pengawalan. Sama seperti masyarakat kita sekarang yang bertindak mengawal, tetapi mengawal dalam kerangka yang negatif. Sepatutnya pengawalan itu disertakan dengan solusi ataupun jawapan yang menjawab permasalah atau persoalan yang ditimbulkan. Barulah kesannya berpanjangan, ideologi tidak mampu ditawan atau dibunuh dengan sentimen, tetapi mampu dikawal dengan hujah. Maka, carilah hujah.

0 comments:

Islam dan Sosiologi Dakwah

0
21:05
Allah berfirman dalam surah Thaha; Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka katakanlah ( serulah ) dia dengan perkataan yang lembut, moga-moga dia ingat atau takut. Lihat; Allah masih lagi meminta Nabi Musa dan Harun untuk mendatangi Firaun dengan perkataan yang lembut meskipun Firaun itu tersangat zalim dan jahat. Bukannya sumpah seranah, tidak juga terus melaknat dia ke neraka.

Lalu, apakah kita ini sebaik atau lebih baik dari Nabi Musa sehinggakan boleh melaknat orang sesuka hati? Ataukah orang yang kita dampingi itu jahatnya lebih dari Firaun sehinggakan dia tidak layak menerima perkataan yang elok-elok?

Saudaraku, berhikmahlah dalam berdakwah. Islam agama penuh kasih-sayang bukannya agama tahu menghukum sahaja. Metod atau sosiologi dakwah yang berkesan perlu ditekuni. Kalaupun kita tidak mampu membawa orang merasa nikmatnya rasa ber-Tuhan, janganlah disebabkan kita orang benci rasa ber-Tuhan.

0 comments:

Islam; Antara hujah dan sentimen.

0
20:46
Betullah, memang menjadi tabii masyarakat kita untuk menggunakan sentimen sebagai hujah dan bukannya hujah untuk menegakkan sentimen. Kecoh video Benz Ali yang dikatakan menghina Islam itu tersebar. Masalahnya yang mengaku pertahankan Islam itulah yang banyak mencelakakan dan melaknat dia. Seolah-olah menjadi lesen untuk orang-orang ini menyumpah seranah orang yang berbeza pandangan dengan mereka. "Oh, aku Sunni, dia Syiah, makanya dengan ke-Sunni-an aku, aku layak melaknat dia". Inilah punca orang yang jauh makin menjauh. Itupun kalau dia betul Syiah.

Kalau dia mahukan hujah rasional, hujah logik akal, carikanlah untuk dia. Nabi Ibrahim ketika berdepan dengan Raja Namrud pun gunakan hujah logik akal untuk kalahkan keangkuhan Namrud, sehingga mati kutu Namrud untuk "terbit dan terbenamkan matahari" seperti yang dipinta oleh Nabi Ibrahim. Kalau dia sedang mencari, bantulah dia menemui apa yang dicari, bukannya membiarkannya terpinga-pinga dengan kesesatan (?) yang kalian dakwa-dakwakan itu.

Dan salahkah dia sedang mencari? Ingat lagi tak kisah Nabi Ibrahim yang mencari Tuhan? Yang disangkanya matahari itu sebagai Tuhan dan akhirnya matahari itu hilang ditelan malam. Lalu Nabi Ibrahim berkata, Tuhan aku bersifat Kekal, maka matahari itu bukan Tuhanku. Bukankah akhirnya baginda bertemu jawapan kepada soalannya itu?

Bukan mahu menyatakan sokongan kepada Benz Ali, cuma ada beberapa perkara yang kita boleh ambil untuk kukuhkan Islam. Pernah dia mempersoalkan tentang ekonomi Islam yang paling efisyen, adakah ekonomi Islam hanya pada waqaf dan sedekah? Yang mana konsep tersebut masih menampakkan kebergantungan individu kepada individu yang lain. Sudah tentu jawapannya tidak sesempit itu, masih banyak lagi konsep ekonomi Islam yang masih belum kita ketahui atas sebab kurangnya kefahaman kita tentang ekonomi Islam. Bukankah ini satu cabaran untuk kita lengkapkan ilmu-ilmu Islam?

Soalan-soalan seperti kalau Syiah kafir kenapa Syiah boleh masuk dalam Baitullah, adakah semua orang kafir itu akan masuk neraka meskipun dia baik di dunia, dan macam-macam lagi soalan pelik yang lain perlu dijawab dengan berhikmah, menggunakan dalil naqli (Quran dan Hadis) dan aqli (akal) untuk saling memperkukuhkan hujah, dan bukan diakhiri dengan dia Syiah, dia kafir, dia masuk neraka. Tidak, hujah Islam tidak sedangkal itu.

Jadi, satu cabaran dakwah bagi kita untuk mencari jawapan untuk persoalan itu. Setelah jawapan yang kita kemukakan itu meyakinkan namun masih tidak diterima, itulah tandanya hidayah itu hakmilik mutlak Allah. Berserahlah kepada Allah, bukan mengambil alih kuasa Allah untuk mensyurga-nerakakan seseorang.

0 comments: