Buku yang mendewasakan saya

1
01:32
Sahabat saya, Farid Akram mencabar saya untuk menyenaraikan 10 buah buku yang paling memberi kesan terhadap hidup saya. Jujurnya, bacaan saya banyak dipengaruhi oleh Allahyarham ayahanda saya, yang merupakan seorang pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu:

1)Hikayat Hang Tuah: Hikayat ini saya "dipaksa" baca oleh Almarhum ayah saya ketika saya bersekolah rendah walaupun sepatah haram tidak faham. Katanya apa guna jadi orang Melayu kalau tidak kenal dengan lagenda Melayu. ketika itu saya sangat mengagumi Hang Tuah sehinggalah saya membaca tulisan Hang Tuah dari sudut pandang Kassim Ahmad.

2)Di Bawah Lindungan Kaabah, Hamka: Buku ini saya baca selepas seorang sahabat mencadangkan kepada saya. Ini ialah tulisan pertama Hamka yang saya baca dan menjadikan saya pentaksub kepada Hamka. Lagipun buku ini nipis sekali, dan tulisannya besar-besar, cukup untuk mula bertatih-tatih membaca karyanya.

3)Konserto Terakhir, Abdullah Hussain: Novel ini pun saya terpaksa baca ketika mengambil SPM. Novel ini berjaya membuka minat saya untuk membaca novel-novel serius yang lain.Perihal percintaan seorang seniman.

4)Limpahan Darah Di Sungai Semur, Zakaria Salleh: Saya tergelak-gelak apabila teringatkan novel ini, kenapalah novel yang wajib dibaca ini novel menjadi pendorong semangat kepada saya untuk melanjutkan pengajian di Maktab Tentera Diraja. Novel yang mengisahkan perlawanan anggota keselamatan dengan komunis

5)Mahasiswa Menggugat, Muhammad Abu Bakar: Buku ini saya cari dan baca selepas saya tamat tingkatan enam. Buku inilah menambah minat saya untuk memasuki UM, seterusnya menyertai PBMUM, PMUM, PMIUM dan demonstrasi. Magnum Opus penting bagi gerakan mahasiswa Malaysia dan aktivis seperti saya.

6)Memoir Politik Syed Husin Ali: Melalui buku ini, saya mula mengumpulkan dan membaca tulisan-tulisan Syed Husin Ali yang lain. Antara rujukan penting dalam bidang pengajian saya di Akademi Pengajian Melayu khususnya dalam bidang sosiobudaya (antropologi).

7)Sulalatus Salatin: Buku yang terpaksa dihadam ketika tingkatan enam, itupun sebab perlu berdepan dengan STPM. Alhamdulillah sampai sekarang saya masih ingat kandungan-kandungan dalam buku tersebut. Saya lebih memahami peristiwa-peristiwa penting dalam Sulalatus Salatin ini apabila membaca novel A. Samad Ahmad yang bertajuk Zaman Gerhana.

8)Natrah, Fatini Yaacob: Buku ini sangat bagus untuk dibaca, sebuah isu yang boleh dilihat dari aspek perundangan yang menampakkan betapa kuasa Mahkamah Syariah ini sangat rendah martabatnya. Untuk lebih memahami Natrah ini, saya beralih kepada karya Isa Kamari iaitu Atas Nama Cinta.

9)Tersungkur di Pintu Syurga, Zabidi Mohamed: Buku mengenai perjalanan Al-Arqam, melalui buku ini, saya dapat dua perkara yang penting dalam dunia aktivisme. Satu, peranan aktivis dakwah juga boleh mencetuskan fenomena politik tanah air dan yang kedua dan terpenting ialah, saya mampu memahami bagaimana polis cawangan khas (SB) bergerak kerja dalam menggagalkan setiap usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

10)Wira Tidak Didendang, Zaim Zainuddin: Buku terbitan Utusan ini menarik perhatian saya kerana turut menyentuh bagaimana peranan polis cawangan khas (SB) dalam berunding dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai di Hatyai. Melalui buku ini, pengarang secara tidak langsung telah mendedahkan modus operandi polis cawangan khas ini. Jadi selepas ini, jangan hairan kalau SB susah mahu tangkap saya...hahahaha

Ini antara buku-buku yang melekat dalam minda saya, dan maaf kalau buku-buku saya ini kebanyakannya hanya menyentuh perihal politik, sejarah dan kesusasteraan, kerana buku genre ini lebih signifikan untuk saya beramal di dunia nyata. Saya cabar pula senior saya Mohd Annas Shafiq EyüboğluArif Atan dan juga kakak saya Fariza Nurbaya untuk menyenaraikan 10 buah buku yang paling mengesankan hidup.

1 comments: