UG atau Anwarinas: Bertanggungjawablah!

0
22:29
Dalam sesebuah organisasi, teramat malang sekiranya sesuatu idea atau gagasan tidak berani dipertanggungjawabkan. Hanya berani melontarkan idea, tetapi tidak berani menerima kesan daripada idea tersebut. Orang sebegini sepatutnya diberi gelaran khusus walaupun tidak digelar munafik haraki. 

Politik kepartian sudah patut menginjak ke fasa baru, iaitu fasa keterbukaan. Kecoh dalam PAS sekarang ini, pertembungan (boleh dibaca dalam nada positif) dua kelompok yang boleh digelar sebagai pendokong idea kerajaan perpaduan (UG) dan satu lagi yang dilihat lebih pro-Anwar (Anwarinas: Satu gelaran yang unik).

Pada saya, idea-idea tersebut sama ada kerajaan perpaduan atau pro-Anwar patut dilihat dengan lebih matang. Individu yang menggagaskan idea tersebut patut tampil dan berhujah supaya ahli bawahan tidak terkeliru dan termakan hujah sebelah pihak sahaja. Mungkin gagasan UG ada hujahnya yang boleh diterima, mungkin yang pro-Anwar ada hujahnya yang meyakinkan juga.

Mungkin ada orang cakap, buat begitu lagilah berlaku perpecahan, ada benarnya juga jika difaham dalam kerangka negatif. Paling tidak, sesuatu idea itu boleh diperbahaskan dan diperhalusi, serta boleh dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu atau pendokong gagasan itu. Kalau tidak, sampai mati pun kita hidup dalam prejudis dan sangka-sangkaan sahaja. Jangan hanya berani baling batu sembunyi tangan, kerana sifat itu juga sifat yang cela.

0 comments:

Ulama bukan nabi

0
22:28
Cubalah berlaku adil dalam mengkritik dan berbahas mencari kebenaran. Gunalah hujah untuk menegakkan "sentimen" bukannya sentimen dijadikan hujah. Nilai sebaiknya hujah yang datang dari kedua-dua belah pihak bukannya nilai dari sumber terdekat kita sahaja.

Jujur saya cakap, saya gagal untuk menisbahkan sesuatu kebenaran bersandarkan kepada sesuatu gelaran hasil pengangkatan manusia (tidak maksum) sama ada profesor, ulama, jawatan dan sebagainya kerana semua itu masih lagi terdapat ruang yang jelas untuk diselongkar dan dibahaskan.

Kadangkala kita perlukan ketaatan tanpa berbelah bahagi Hang Tuah sebagai lambang cinta agung namun adakalanya kita memerlukan kederhakaan (baca dalam nada positif) Hang Jebat bagi memastikan kebenaran itu masih hidup untuk dipertahankan.

Namun, benarkah kita sudah mengadili sesuatu perkara? Atau kita hanya menerima bulat-bulat tanpa sebarang tapisan (atas faktor maklumat diperolehi daripada sumber terdekat dengan kita?). Kalau kita belum mengadili (menganalisis, membahas) macam mana kita boleh berhukum? (menentukan siapa benar dan salah).

0 comments:

Isu MB Selangor: Kalaulah aku unit saraf UMNO

0
22:26
Aku cuba memposisikan pemikiran aku sekiranya aku berada dalam unit saraf UMNO dalam memanipulasi sebaik mungkin konflik yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Pertama, aku akan tonjolkan imej Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai rekod perhidmatan yang sangat cemerlang melalui media arus perdana sehinggakan rakyat berasa tidak wajar untuk menukar MB sedia ada. Langkah pertama aku rasa sudah berjalan sekarang alhamdulillah.

Kemudian, aku akan buka ruang kepada pimpinan PAS untuk menyatakan pendirian PAS (atau pendirian Presiden) melalui satu slot khas di televisyen mengenai isu MB Selangor. Paling tidak, aku akan petik kata-kata pimpinan PAS dan beberapa kenyataan bercanggah antara Mahfuz dan Tuan Guru Haji Hadi bagi menampakkan keadaan kucar-kacir dalam PR dan membina keraguan dalam penyokong PR dan golongan atas pagar.

Langkah seterusnya lebih mudah, aku akan leraikan kesatuan parti dalam PR. Aku akan tonjolkan imej PKR yang buruk dari sudut prinsip dan akhlak. Aku ungkit balik isu wakil rakyat PKR lompat parti dan naikkan imej PAS sebagai sebuah parti yang paling berintegriti dan bermoral dengan harapan penyokong dan pimpinan PAS meragui tahaluf siyasi PAS dalam PR. Aku akan imejkan UMNO sebagai parti yang paling sesuai untuk berpakat dengan PAS bagi menjamin perpaduan ummah (dalam kerangka yang sempit Islam-Melayu).

Tidak cukup dengan itu aku akan wujudkan perbahasan fiqh tentang penglibatan wanita sebagai pemimpin. Aku manfaatkan semula ulama-ulama dan institusi pondok yang berpihak kepada "kami"(UMNO) dan menyempitkan perbahasan tersebut sekitar isu haid, keutamaan tanggungjawab kepada suami dan keluarga serta pengurusan emosi yang tidak stabil.

Selesai pengurusan persepsi kepada rakyat, aku akan hantar wakil untuk berunding dengan PAS, aku akan yakinkan PAS bahawa cita-cita negara Islam hanya boleh dicapai melalui kerjasama UMNO-PAS sahaja. Aku akan buktikan kesungguhan "kami" dengan memberi bantuan pembangunan dan material kepada kerajaan PAS di Kelantan, dengan prestasi tidak memberansangkan kerajaan PAS Kelantan sekarang ini aku rasa tawaran itu sangat menggiurkan bagi membuktikan kejayaan PAS Kelantan yang dihentam teruk akhir-akhir ini. Sebagai timbal-balik, aku akan bagi jaminan kepada PAS bahawa UMNO tidak akan kacau daun di Kelantan lagi dan akan memberi bantuan langsung kepada kerajaan Kelantan selagi ada bulan dan bintang.

Agenda seterusnya ialah membawa PAS ke dalam BN atau paling tidakpun membawa PAS keluar daripada PR. Apabila BN kuat balik, aku tidak akan tendang PAS kerana ini mungkin akan menimbulkan kemarahan rakyat tetapi sebaliknya aku akan bagi keselesaan kepada PAS dan buatkan rakan tahaluf aku itu (PAS) merasakan cukup diri mereka dihargai.

Sekian khayalan aku, tetapi aku yakin tidak mungkinlah pimpinan PAS sedayus itu dan sebodoh itu untuk keluar daripada Pakatan Rakyat untuk bersama dengan UMNO. Tidak mungkin, tidak mungkin, aku harap tidak mungkin, aku rasa tidak mungkin atau benarkah mungkin?

0 comments: