Islam; Antara hujah dan sentimen.

0
20:46
Betullah, memang menjadi tabii masyarakat kita untuk menggunakan sentimen sebagai hujah dan bukannya hujah untuk menegakkan sentimen. Kecoh video Benz Ali yang dikatakan menghina Islam itu tersebar. Masalahnya yang mengaku pertahankan Islam itulah yang banyak mencelakakan dan melaknat dia. Seolah-olah menjadi lesen untuk orang-orang ini menyumpah seranah orang yang berbeza pandangan dengan mereka. "Oh, aku Sunni, dia Syiah, makanya dengan ke-Sunni-an aku, aku layak melaknat dia". Inilah punca orang yang jauh makin menjauh. Itupun kalau dia betul Syiah.

Kalau dia mahukan hujah rasional, hujah logik akal, carikanlah untuk dia. Nabi Ibrahim ketika berdepan dengan Raja Namrud pun gunakan hujah logik akal untuk kalahkan keangkuhan Namrud, sehingga mati kutu Namrud untuk "terbit dan terbenamkan matahari" seperti yang dipinta oleh Nabi Ibrahim. Kalau dia sedang mencari, bantulah dia menemui apa yang dicari, bukannya membiarkannya terpinga-pinga dengan kesesatan (?) yang kalian dakwa-dakwakan itu.

Dan salahkah dia sedang mencari? Ingat lagi tak kisah Nabi Ibrahim yang mencari Tuhan? Yang disangkanya matahari itu sebagai Tuhan dan akhirnya matahari itu hilang ditelan malam. Lalu Nabi Ibrahim berkata, Tuhan aku bersifat Kekal, maka matahari itu bukan Tuhanku. Bukankah akhirnya baginda bertemu jawapan kepada soalannya itu?

Bukan mahu menyatakan sokongan kepada Benz Ali, cuma ada beberapa perkara yang kita boleh ambil untuk kukuhkan Islam. Pernah dia mempersoalkan tentang ekonomi Islam yang paling efisyen, adakah ekonomi Islam hanya pada waqaf dan sedekah? Yang mana konsep tersebut masih menampakkan kebergantungan individu kepada individu yang lain. Sudah tentu jawapannya tidak sesempit itu, masih banyak lagi konsep ekonomi Islam yang masih belum kita ketahui atas sebab kurangnya kefahaman kita tentang ekonomi Islam. Bukankah ini satu cabaran untuk kita lengkapkan ilmu-ilmu Islam?

Soalan-soalan seperti kalau Syiah kafir kenapa Syiah boleh masuk dalam Baitullah, adakah semua orang kafir itu akan masuk neraka meskipun dia baik di dunia, dan macam-macam lagi soalan pelik yang lain perlu dijawab dengan berhikmah, menggunakan dalil naqli (Quran dan Hadis) dan aqli (akal) untuk saling memperkukuhkan hujah, dan bukan diakhiri dengan dia Syiah, dia kafir, dia masuk neraka. Tidak, hujah Islam tidak sedangkal itu.

Jadi, satu cabaran dakwah bagi kita untuk mencari jawapan untuk persoalan itu. Setelah jawapan yang kita kemukakan itu meyakinkan namun masih tidak diterima, itulah tandanya hidayah itu hakmilik mutlak Allah. Berserahlah kepada Allah, bukan mengambil alih kuasa Allah untuk mensyurga-nerakakan seseorang.

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 comments: